Waspada ubat tidak berdaftar di laman sosial – Jabatan Farmasi

 elakkan

KOTA BHARU: Waspada dengan penjualan ubat tidak berdaftar dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan harga yang murah menerusi laman sosial Facebook. Ketua Penolong Pengarah Farmasi, Jabatan Kesihatan Kelantan Mohammad Aswady Adenan yang memberi peringatan itu berkata, kaedah perniagaan online atau dalam talian menjadi medium kumpulan peniaga yang ingin meraih keuntungan mudah.

Beliau berkata, jika dahulu kumpulan ini menggunakan kawasan kaki lima dan pasar malam untuk menjual ubat tidak berdaftar, namun sekarang skripnya nyata berbeza apabila mereka menumpukan kaedah perniagaan secara dalam talian. “Kaedah perniagaan online digunakan kerana kumpulan ini merasakan aktiviti mereka tidak dapat dikesan anggota penguatkuasa selain merasakan ia lebih selamat kerana kebanyakan mereka ini beroperasi di rumah.

“Kumpulan peniaga ini juga semakin berani apabila menjual ubat tidak berdaftar seperti ubat perangsang seks, penenang saraf dan kosmetik secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Mohammad Aswady berkata, peniaga ubat tidak berdaftar ini bijak kerana mereka akan mempamerkan hasil testimoni atau gambar kesan ubat yang mereka jual untuk menarik pelanggan. “Sebagai contoh produk kecantikan, mereka (peniaga) akan pamerkan gambar individu yang beli produk mereka telah cantik di Facebook bertujuan menarik perhatian pembeli. “Kalau ubat yang mereka jual itu bagus kenapa mereka tidak mendapat kelulusan daripada KKM? Pengguna kena bijak berfikir dan tidak terpedaya dengan tipu daya kumpulan ini,” katanya.

Mohammad Aswady berkata, orang ramai perlu tahu akan risiko serta bahaya penggunaan ubat tidak berdaftar ini kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. “Setiap ubat yang ingin dijual di Malaysia perlu mendapat kelulusan KKM, jika tidak ubat itu mungkin mempunyai risiko tertentu seperti ia telah dicampur dengan racun atau steroid. “Jika kita guna ubat yang dicampur dengan bahan seperti steroid ia akan memudaratkan kesihatan. Memanglah ia akan beri kesan segera tetapi masa akan datang kesihatan akan terjejas,” katanya. Mohammad Aswady berkata, cara mudah untuk mengesan ubat yang tidak berdaftar ialah tidak mempunyai Nombor Pendaftaran ‘MAL’ dan juga pelekat hologram KKM. “Oleh itu orang ramai yang membeli ubat-ubatan perlu pastikan botol ataupun kotak ubat tersebut mempunyai dua elemen itu, barulah ubat itu selamat untuk digunakan,” katanya.

Sementara itu, katanya Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan telah mewujudkan akaun Facebook dan Instagram sebagai langkah untuk memantau dan menangani kumpulan peniaga ubat tidak berdaftar ini. “Selain itu, ia juga bertindak untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kesan atau bahaya penggunaan ubat tidak berdaftar,” katanya. Beliau berkata, pelbagai kempen giat dilaksanakan untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada orang ramai tentang bahaya ubat tidak berdaftar. “Di Kelantan kita guna slogan ‘Cakna Ubat Anda’ dan medium utama adalah Dikir Barat dan sukan bola sepak kerana ia sinonim dengan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>