Penduduk Pulau Mantanani perlu klinik kesihatan

KK

KOTA KINABALU – Penduduk dua buah kampung di Pulau Mantanani, Kota Belud, menggesa kerajaan membina sebuah klinik kesihatan di pulau itu bagi kemudahan penduduk mendapatkan rawatan kesihatan terbaik.

Terdapat dua kampung di pulau itu — Kampung Pulau Mantanani dan Kampung Siring Bukit yang dihuni lebih 1,000 penduduk.

Ketika ini penduduk di pulau tersebut terpaksa menggunakan bot dari Pulau Mantanani ke Pengkalan Abai, bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud.

Pulau Mantanani yang terletak di perairan pantai barat Sabah mengambil masa kira-kira satu jam 45 minit perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Usukan, Kota Belud.

Ketua Kampung Pulau Mantanani, Mohd Tahir Ismawil, 44, berkata, permohonan untuk mendapatkan kemudahan itu telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.

“Permohonan itu sudah dibuat sebelum saya jadi ketua kampung lagi tapi masih belum ada perkembangan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program Sahabat Maritim bersama Petronas di Pulau Mantanani, semalam.

Mohd Tahir berkata, selain kemudahan klinik kesihatan, kemudahan bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air paip terawat juga turut diperlukan penduduk di pulau itu.

Bekalan elektrik di pulau itu hanya dibekalkan selama 12 jam sahaja iaitu bermula dari enam petang hingga enam pagi dan bekalan air melalui air graviti.

Suri rumah Samsiah Bullah, 43, dari Kampung Siring Bukit berkata beliau terpaksa berpindah sebulan lebih awal ke Kota Belud sebelum tarikh bersalin.

“Kalau ada klinik desa di sini lagi senang sebab tidak perlu lagi menyeberang ke Kuala Abai,” katanya.

Kebanyakan penduduk pulau Mantanani terdiri daripada suku kaum Bajau Hobian yang bekerja sebagai nelayan, guru dan kakitangan di pusat peranginan di pulau itu.

Mohd Tahir berkata penduduk di pulau itu turut mengusahakan inap desa dan terdapat sembilan buah rumah yang menyediakan kemudahan kepada pelancong yang berkunjung ke pulau itu.

Februari lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk pembinaan 100 buah rumah mampu milik selain pelbagai projek pembangunan di pulau berkenaan.

Beliau berkata, kementerian turut menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk pembinaan landskap serta mewujudkan lebih banyak rumah peranginan (chalet) bertaraf empat hingga lima bintang serta membina jeti pelancongan baharu di pulau itu.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>