Keprihatinan elak kanak-kanak jadi mangsa rogol, jenayah seks

Kanak

Pihak sekolah juga berperanan melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah. – Gambar hiasan

KITA maklum kanak-kanak secara umumnya bersifat rapuh, senang percayakan orang, tidak boleh mengurus dan menyelamatkan diri sendiri apabila berdepan keadaan bahaya. Mereka perlu dilindungi oleh orang dewasa. Oleh itu ibu bapa perlu bersikap lebih prihatin, mengambil tahu dan bersama menolong menjaga kanak-kanak walaupun mereka bukan anak atau ahli keluarga sendiri.

Ini bagi mengelak berlaku perkara yang boleh mencetuskan kerisauan kepada masyarakat. Kisah kanak-kanak 11 tahun yang melahirkan anak di Negeri Sembilan baru-baru ini menimbulkan banyak pertanyaan terutama apabila keadaan itu tidak diketahui keluarga.

Rahsia terdedah apabila pelajar Tahun Lima itu mengadu sakit perut dan ibunya membawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Namun, khabar mengejutkan apabila doktor yang merawat memaklumkan kesakitan dialami kerana ingin melahirkan anak. Keluarga yang terkejut membuat laporan polis dan kes diklasifikasikan sebagai jenayah rogol mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Keratan akhbar BH 6 Ogos 2015 mengenai jenayah terhadap kanak-kanak.

Keratan akhbar BH 6 Ogos 2015 mengenai jenayah terhadap kanak-kanak.

Kemudian, anak yang dilahirkan dilaporkan meninggal dunia. Jaminan hidup selamat, ceria Pastinya kita tidak mahu perkara ini berlaku, maka sewajarnya banyak perkara perlu diberi pertimbangan. Apakah tiada jaminan untuk kanak-kanak menjalani hidup dengan selamat dan ceria? Apakah ibu bapa tidak mengendahkan cerita anak jika mereka mengadu dipegang atau dirogol?

Apakah bilangan penjenayah seks kanak-kanak sangat ramai hingga mengancam keselamatan golongan berkenaan? Atau kanak-kanak sekarang sudah terkehadapan dalam pelbagai perkara termasuk hubungan seksual sehingga berzina dengan rakan mereka? Bagaimana dengan perubahan sikap serta fizikal, kenapa itu juga gagal dikesan atau diperhatikan orang di sekeliling. Ini antara persoalan pertama ditanyakan apabila terjadi insiden seperti itu.

Apabila sudah terjadi, adakah kanak-kanak serta keluarga mendapat perlindungan serta sokongan kejiwaan. Apakah penghakiman kes-kes sebegini wajar dikaji semula dengan peruntukan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pelakunya apabila disabitkan? Soalan demi soalan tidak akan berhenti hingga kita mampu menghasilkan jawapan kerana apabila perkara itu berlaku lagi, kita akan bertanyakan soalan yang sama.

Kes membabitkan kanak-kanak wajar membuka mata masyarakat dan mendorong untuk merenung serta mengambil tindakan secara kolektif. Ibu bapa sebagai orang terdekat mesti mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak dengan menyediakan suasana hidup yang selamat. Ibu bapa tidak wajar membiarkan anak kecil terutama kanak-kanak perempuan berjalan sendirian ke sekolah atau berada di taman permainan tanpa pengawasan orang dewasa.

Dengan siapa mereka berkawan dan keluar hendaklah diawasi sebagai sebahagian tanggungjawab ibu bapa. Apabila kanak-kanak mengadu ada lelaki memegang tempat sulit mereka atau merogol mereka, seharusnya ia menimbulkan kecurigaan dan dengan segera membawa anak ke klinik untuk pemeriksaan.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>